Terasing di Lembah Penyesalan

Dalam meniti arus kedewasaan, terpalit rasa dosa yang meresahkan. Melalui siri yang dihasilkan Shah Azman cuba menggambarkan kekesalan dan keterasingan.

Boleh saudara ceritakan tentang sedikit latarbelakang mengenai diri saudara?
Wassalam, nama saya Shah Azman, dilahirkan di Johor Bahru,dibesarkan di Shah Alam, Selangor.
Menamatkan pelajaran dalam jurusan Filem& Animasi di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Mengapa memilih seni fotgrafi untuk berkarya? Bagaimana minat itu berkembang?
Oh. Pertama sekali, saya bukan lah seorang fotografer, sekadar minat dalam komposisi, dan pengisian ruang dalam
sesuatu rangka. Berkembang selepas ayah saya hadiahkan sebuah kamera compact ketika dibangku persekolahan
dahulu.

Boleh saudara ceritakan mengenai siri imej yang dihasilkan, apa cerita disebaliknya?
Kebanyakan gambar-gambar saya adalah bertemakan hitam putih, ini sebenarnya satu kekurangan bagi saya, kerana saya tak banyak dapat bermain dengan emosi warna. Tapi sebab itu juga saya memilih hitam putih, kerana
saya nak buang warna dan emosi dalam gambar saya. Saya berminat dengan ketiadaan, kesepian, keseorangan.


Berapa lama seluruh siri atau imej itu dihasilkan?
Bergantung kepada projek. Kalau selepas penggambaran, seminggu dua sudah selesai (proses nak cuci gambar)

Adakah seseorang perlu mempunyai falsafah untuk menghasilkan sesuatu karya?
Tidak perlu. Tapi kalau ada perencah, lagi sedap makanan tu.

Apa yang anda mahukan penonton rasakan ketika melihat karya anda?
Sekadar dapat menghargainya sudah memadai.

Siapa artis/fotografer yang menjadi rujukan atau ikon kepada anda?
Oh semestinya Storm Thorgerson.

Anda juga telah diberi kepercayaan oleh sebuah band untuk menghasilkan seni visual untuk band/album mereka, boleh ceritakan tentang projek tersebut

Oh itu, untuk sebuah band bernama Reset To Zilch. Mereka merupakan sahabat lama yang mahu menghasilkan album sulung mereka. Jadi saya sekadar berkerjasama untuk membantu mereka dalam perjuangan mereka. Tentang gambar-gambar tersebut, ia merupakan idea dari konsep “kelahiran semula’. Saya ambil kotak hitam sebagai simbol Kaabah dimana ia merupakan kiblat orang Islam dalam membersihkan rohani mereka. Gambar-gambar yg dihasilkan sekadar luahan rasa kesal seorang yang banyak dosa.

Adakah anda menetapkan gaya conceptual sahaja dalam menghasilkan karya?
Tidak juga. Banyak gambar yg saya hasilkan, tapi tak dimuat naik kerana saya tidak rasa sampai.

Adakah seorang fotografer itu perlu meletakkan dirinya dalam satu genre yang khusus dalam menghasilkan karyanya?
Tidak perlu, lebih penting adalah untuk sedar tentang potensi diri sendiri, dan fokus dimana yang dia yakin.

Seseorang pada hari ini terdedah kepada beratus malah beribu imej sepanjang hidupnya akibat kepesatan media sosial, berbanding dua dekad yang lalu. Pada pendapat anda adakah ini akan menyebabkan khalayak akan kurang menghargai seni fotografi?
Ada beza, media sosial selalunya tidak digunakan untuk seni fotografi , sebaliknya untuk berkongsi kenangan dan
pengalaman hidup. Kalau nak benar-benar menghayati seni fotografi kena selalu baca buku dan lihat pameran.

Apakah nasihat atau pengalaman yang boleh dikongsi sebagai pengarah kreatif/fotografi untuk mereka yang mahu menceburi bidang seni visual/fotografi?
Buat selagi semangat tu ada, jaga semangat tu jangan kasi tumpul, jangan kerja
terlalu keras, bahagikan masa yang cukup untuk kerja, diri dan keluarga.

website: www.shahazman.com
facebook: shah azman
instagram: @shah azman