Menjejak Bencana Dari Tacloban ke Kelantan

Tacloban / Khairl Safwan

Benarlah kata pepatah melayu ‘kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa’. Anak muda ini memberikan satu gambaran berbeza tika saya mula-mula mengenali beliau. Berbusana seluar jeans koyak, tshirt lusuh berjalan masuk ke bilik kuliah kami. Gayanya lebih banyak mengundang misteri, tetapi pepatah barat mengatakan ‘jangan adili buku melalui kulitnya’ Masa berlalu anak muda ini melalui transisi kerjaya dan kehidupan peribadi yang semakin menyinar. Baru bergelar bapa setahun yang lalu, beliau pernah juga baru pulang menghadiri Bengkel Kewartawanan Foundry di Bali yang tersohor dimana beliau salah seorang penerima biasiswa kursus dibawah tunjuk ajar fotojurnalis dari agensi VII, Ron Haviv. Hari ini anak muda yang saya sangka naïf itu membawa segudang ilmu dan pengalaman hasil berkelana bersama kameranya. Kami bertemu pada satu petang yang damai, langit berjerebu di Shah Alam menjadi latarbelakang temuramah ini.

Bagaimana anda boleh mula meminati bidang fotografi ini?
Saya bermula fotografi sebagai hobi, kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang rekaan grafik pada
tahun 2009. Pada tahun 2010 saya belajar diploma fotografi di UTMSpace, pengkhususan dalam Fotojurnalisma.


Apa maksud fotojurnalisma pada pandangan anda?
Fotojurnalisma ini merupakan satu cara kita merakamkan peristiwa atau cerita yang mungkin jadi bahan
rujukan bersejarah pada masa akan datang.

Siapa yang selalu menjadi rujukan anda?
Saya ada banyak rujukan yang saya minati, kalau tempatan saya minat dengan dengan Shamshahrin Shamsudin. Beliaulah yang banyak membuka mata dan mendorong saya untuk lebih gigih lagi. Terutamanya dalam menyediakan saya untuk menyertai Angkor Photo Festival. Saya juga menggemari Ander Peterson, Josef Koudelka yang saya selalu meneliti perkembangan karya-karya mereka dari zaman yang berbeza-beza. Kalau agensi saya minat dengan Magnum, Vu dan Noor.


Anda juga berjaya dipilih ke Angkor Photo Workshop/Festival pada tahun 2012, boleh kongsi pengalaman tersebut?
Angkor Photo Festival telah membuka dunia baru untuk saya. Ketika menjalani bengkel disana saya telah
diberi kebebasan untuk menghasilkan tugasan tetapi melalui mentor yang dipilih iaitu (nama) Reuters, Getty Images. Saya juga banyak belajar dengan peserta yang datang ke bengkel tersebut, kami sentiasa bertukar-tukar fikiran tentang cara penghasilan gambar dan sebagainya. Ada dikalangan mereka yang masih sangat muda. Saya gemar dengan pendedahan yang saya dapat disana, mereka tidak lokek untuk mencurahkan idea walaupun berbeza kumpulan (kumpulan berdasarkan tutor berbeza). Malah jangka masa yang diberikan juga agak ketat, seperti sebelum ni selalunya kita ada masa sendiri, tetapi melalui bengkel ini ada masa yang terhad diberikan
untuk menyiapkan tugasan. Ia merupakan latihan untuk kita memerah idea dalam tekanan kerja dan masa
yang terhad. Malah dengan tempat dan suasana yang baru juga menyukarkan kami untuk menyiapkan sesuatu tujuan kerana semua orang masih baru mengenali Siem Reap (Angkor) itu sendiri. Kebanyakkan cerita yang ingin diketengahkan telah pun dibuat oleh peserta-peserta terdahulu, jadi kita kena betul-betul perah idea untuk dapatkan cerita baru. Bila saya balik ke Malaysia, saya boleh menyingkap cerita/tema yang sama tapi dari sisi lain dan jadikan ia lebih menarik.

Bagaimana anda memilih sesuatu projek?
Selalunya saya pilih tema/tajuk yang saya gemari, kemudian saya akan penyelidikan. Saya ingin memaparkan sesuatu tajuk/cerita yang mahu dipaparkan kepada umum. Saya akan meninjau situasi sekitar tempat tersebut, berkenalan dengan subjek dengan rapat. Supaya saya dapat kisah yang lebih intim. Seperti Faith and Honour adalah projek peribadi mengenai wanita muslim berhijab di sekeliling saya. Mereka terdiri daripada ibu, jiran,
saudara mara dan rakan-rakan. Saya mahu memahami syariat Islam tentang hijab untuk muslimah, dari situ saya memahami bahawa ia tanggungjawab yang lebih besar. Kebanyakan masa setiap projek yang saya buat memberi perspektif baru kepada saya terhadap sesuatu isu seterusnya ia membuatkan saya lebih peka kepada isu tersebut.
Untuk Faith and Honor saya ambil masa setahun setengah untuk menghasilkannya, namun ia merupakan
saru projek saya yang berterusan.

A group of muslim women smiling to each other after Eidul Adha prayer. Faith and Honor. Khairil Safwan

Boleh kongsi mengenai projek Tacloban?
Bila saya mendengar berita tentang kemusnahan yang melanda Tacloban, saya berminat untuk melihat dengan lebih dekat mengenai suasana yang melanda di sana. Saya bersama Rahman Roslan dan Adli Ghazali telah kesana untuk merakamkan detik selepas bencana. Ketika mula-mula sampai disana ia bukan seperti apa yang digambarkan, benar-benar berbeza. Mungkin sebelum ni kita tengaok gambar-gambar di internet, atau melihat
berita di televisyen.Berada disana telah membuka lembaran baru bagi saya tentang pengertian hidup, kerana bila pertama kali melihat keadaan tempat tersebut begitu banyak kemusnahan yang berlaku yang saya tidak pernah lihat sebelum ini, melalui perbualan saya dengan penduduk tempatan mereka memberi gambaran yang sebaliknya
tenang apa yang berlaku melalui semangat untuk terus hidup, ringkasnya mereka akan terus hidup walaupun kampung halaman teruk terjejas dengan bencana alam. Melalui pengalaman yang saya kutip disana saya gunakan untuk membuat dokumentari yang baru. Saya juga belajar bagaimana Rahman Roslan dan Adli Gazali bekerja,
saya lihat mereka banyak berkomunikasi dengan subjek, memerhati sekeliling. Juga cara mereka merancang kerja, displin yang diterapkan. Itu pendedahan yang saya dapat bila bekerja dengan lebih dekat dengan orang yang ada banyak pengalaman.

Berdasarkan perbualan ini saya dapati untuk menghasilkan sesuatu projek akan mengambil masa yang
panjang, dengan modal sendiri dan pastinya projek ini tidak menghasilkan pulangan wang. Bagaimana untuk orang awam memahami bahawa ia juga memerlukan satu ketahanan mental yang begitu tinggi.

Ianya bermula dengan minat, kemudian didorong dengan keinginan untuk menimba lebih banyak ilmu
melalui pengalaman yang ditempuhi. Bila kita berjaya menyiapkansesuatu projek, kita sedar kita telah mula berkembang. Dari situ keinginan untuk membuat projek baru akan bercambah, jadi mental kita secara automatic akan terangsang, kira macam dadah jugakla. Kau dah dapat sekali kau nak lagi. Macam saya bermula dengan tema
pendatang dalam Colok, kemudian mengangkat tema keluarga dalam Lonely Papa. Melalui projek tu saya mula sedar untuk lebih peka dengan sekeliling, malah lebih sensitif dengan subjek. Untuk Tacloban pula saya mencabar diri untuk melihat kehancuran sesuatu tempat, selalunya aftermath memang sangat mengerikan.

Saya berpendapat untuk menjadiseorang fotografer dokumentari seseorang perlu lebih banyak berada dilapangan daripada belajar dibilik darjah, apa komen anda?
Saya bersetuju dengan anda, bukan dokumentari sahaja tetapi bidang fotografi secara amnya. Kita perlu banyak meneroka perkara atau alam sekeliling kita. Balajar secara teori seperti membaca dan belajar melihat adalah perkara yang berbeza.

Adakah anda ada merancang projek baru?
Selain menyambung Faith & Honor, saya juga membuat projek baru mengenai keluarga saya. Ia merupakan satu projek yang sangat peribadi, mengenai penyatuan semula ahli keluarga saya. Saya mahu merakamkan keakraban semula ahli keluarga yang telah terpisah dalam satu jangka masa lama. Dokumentasi ini juga salah satu cara untuk saya merapati dan memahami keluarga yang pernah terpisah dahulu.

Adakah anda terikat dengan mana-mana agensi berita ketika ini?
Sekarang ini saya lebih suka bergerak secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana agensi. Untuk sesetangah situasi saya cuba bentangkan sesuatu idea kepada mana-mana editor untuk saya menjual idea saya, seterusnya kalau mereka bersetuju saya kami akan berbincang tentang keseluruhan projek. Atau saya biasanya akan buat sahaja mana-mana projek sendiri kemudian saya akan jual kepada mana-mana editor yang berminat.

Melalui perkongsian ini anda membayangkan bahawa kerjaya fotografer dokumentari bukanlah seindah yang disangka.

Memang kebanyakkan orang diluar sana beranggapan kerjaya fotografer dokumentari ini satu kerjaya yang glamour, dapat berjalan ke merata tempat, menginap di hotel 5 bintang. Tapi realitinya bukan begitu, ketika
saya di Tacloban misalnya saya juga bertemu ramai fotografer ternama dari agensi besar, mereka sanggup tidur dalam khemah ditepi jalan kerana hotel disana tiada bekalan kuasa. Malah kena angkat air ke tingkat 10. Anda mungkin nampak hebat hanyalah setelah menghasilkan sesuatu gambar, tetapi kerja belakang tabir itulah yang getir. Zaman sekarang ini dengan teknologi yang serba maju macam-macam peralatan canggih yang boleh dibeli, tetapi kekuatan mental tidak dapat dibeli dimana-mana. Kena melalui proses yang panjang dan pengalaman meneroka. Kita mungkin tengok sekarang fotografer terkenal ni buat kerja nampak mudah sahaja, tapi kita terlupa 5-10 tahun dahulu ketika mereka mula-mula berkerja perit getirnya pada permulaan dahulu.


Facebook: Khairil Safwan
Instagram: @kkhairilsafwann
Blog: www.khairilsafwan.com