Guru Grafik Malaysia

Pertama sekali saya perlu ucapkan terima kasih atas kewujudan @sifoodotcom sejak 20 tahun lalu. Ini kerana ketika saya mula berjinak-jinak dengan dunia grafik pada tahun 2007, #sifoodotcom lah tempat pertama saya menimba ilmu. Walaupun hanya sekali sahaja menyertai kelas asas Illustrator ketika itu, tapi ilmu yang ditimba tidak sia-sia. Sifoodotcom sebenarnya lebih aktif di internet dengan forum dan perkongsian ilmu yang diasaskan oleh @imranabduljabar. Walaupun pada ketika sumber grafik di internet begitu banyak tetapi kebanyakkan kandungannya dalam bahasa Inggeris. Berbanding Sifodotcom yang menggunakan bahasa Melayu, beliau melihat ia adalah peluang untuk beliau memberikan kandungan dalam bahasa ibunda untuk terus relevan dengan pasaran tempatan. Interview bersama Imran Abdul Jabar menyingkap pandangan beliau terhadap lanskap industri rekaan di Malaysia.

Apa peranan atau misi utama Sifoo.com dalam industri kreatif?

Sejak dari awal kemunculan Sifoo.com, matlamat utama ialah untuk menjadi satu tempat rujukan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang grafik, web dan multimedia.

Adakah sekolah rekaan formal masih relevan di era digital ini? Bagaimana institusi seperti Sifoo.com dapat mengharungi persaingan sekolah rekaan atas talian?

Kebelakangan ini, saya sering mengatakan bahawa media sedang berubah, institusi pendidikan juga sedang berubah. Terdapat sangat banyak sumber rujukan yang up-to-date dalam internet. Dalam web, blog dan juga di YouTube. Pendidikan yang paling terkesan yang dalam bidang kemahiran, termasuklah seni reka grafik. Memiliki komputer tidak sesusah dahulu, capaian internet juga mudah dan laju, sumber bahan rujukan untuk mengasah kemahiran sangat banyak serta ruang bertanya dalam kalangan komuniti grafik juga mudah dijumpai. Untuk sesiapa yang mempunyai keazaman belajar sendiri yang kuat, tidak sukar untuk memperolehi kemahiran melalui cara tidak formal. Jika dikaji, terutamanya di sektor swasta, portfolio hasil kerja serta prestasi kemahiran menjadi penilaian utama berbanding kertas sijil dari institusi pendidikan formal. Walau bagaimanapun, pendidikan formal boleh membantu mereka yang kena belajar melalui cara “paksa”. Ya lah, wajib hadir kelas, wajib siapkan tugasan dan wajib lulus peperiksaan.

Bagaimana institusi seperti Sifoo.com dapat mengharungi persaingan sekolah rekaan atas talian?

Sifoo.com belum lagi menjadi sebuah “sekolah online”. Kami hanya menyediakan satu platform untuk berkongsi bahan. Jika hendak belajar dengan kami, sila sertai bengkel atau kursus yang kami sediakan secara fizikal di pusat latihan kami di Sungai Besi.

Pada pendapat saudara, adakah kematangan komuniti kreatif di Malaysia telah mencapai ke tahap yang sepatutnya?

Menurut pemerhatian saya, komuniti kreatif di Malaysia ni mempunyai banyak bakat yang hebat. Setiap individu kreatif akan mengambil masanya sendiri untuk mencapai kematangan secara peribadi. Jadi, secara kolektifnya, komuniti kreatif kita tidak berapa seimbang pencapaiannya. Mungkin dari sudut stakeholder negara sendiri pun tidak memberi peluang dan ruang yang secukupnya kepada komuniti kreatif Malaysia terutamanya dalam bidang reka grafik.

Apa skill tambahan yang penting untuk dipelajari oleh seorang pereka untuk tahun 2020 dan seterusnya?

Seperti yang saya jawab di atas, beberapa tahun kebelakangan ini, media mengalami perubahan yang ketara. Orang dah tak tengok TV sangat. Banyak kandungan program boleh ditonton dari platform internet seperti YouTube atau Netflix. Rasanya, Astro pun kehilangan ramai pelanggan. Pereka kena peka dengan kehendak klien yang berplatform di media sosial. Bagaimana hendak mempersembahkan kandungan di media sosial bagi menyampaikan atau memasarkan sesuatu. Mahu tak mahu, pereka kena ambil tahu teknik suntingan video sedikit, merekabentuk laman web, melakukan proses penjenamaan visual secara digital. Lebih-lebih lagi, sekarang sudah ramai peniaga online. Mereka memerlukan khidmat pakar grafik yang mampu merancakkan lagi pemasaran online mereka. Tak lupa juga kepada perkembangan aplikasi mobile dan permainan mobile. Keperluan perkhidmatan reka grafik dalam bidang itu juga tak kurang banyaknya.

Sebagai seorang pengasas syarikat, apa kualiti yang saudara lihat dalam berkolaborasi dan pengambilan pereka baru?

Saya lebih suka melihat attitude atau sikap seseorang dalam melakukan kerja. Tak mahir sangat tak apa, asalkan mempunyai sikap positif untuk sentiasa belajar dan membukti pada diri bahawa dia boleh menghasilkan sesuatu yang progresif. Ciri peka dengan common-sense juga amatlah penting. Ia adalah ciri yang menyebabkan seseorang itu lebih berdikari dan sentiasa menghasilkan kerja yang lebih baik untuk majikan atau klien.

Saudara sering memberikan kritikan terbuka terhadap hasil kreatif badan kerajaan seperti logo JAKIM, Tahun Melawat Malaysia dan Hari Kebangsaan. Mengapa hasil kerja kreatif yang lemah sebegini sering berlaku?

Saya pernah tulis artikel tentang ini di facebook page saya. Pertama sekali ialah tentang kaedah menggunakan pertandingan untuk mendapatkan hasil rekaan logo. Terdapat banyak kepincangan dalam kaedah tersebut, bermula dari penyertaan peserta, penerimaan dan penapisan karya, penjurian sehinggalah pemilihan terakhir. Ada benda yang boleh dipertandingkan atau ada rekaan logo yang boleh dipertandingkan, ada yang tidak sesuai. Kalau, logo perayaan seperti Hari Kebangsaan, Sambutan Ulang Tahun…ok lagilah kerana ia akan digunakan dalam tempoh yang tidak lama. Dan, kemeriahan sambutan dikongsi dengan rakyat jelata yang teringin hendak menyumbang. Walau bagaimanapun, tidak sesuai rekaan logo untuk organisasi seperti Jabatan atau Kementerian atau acara berprestij peringkat kebangsaan dan antarabangsa dipertandingkan. Paling ketara ialah kaedah pertandingan tidak mempunyai komunikasi dua hala di antara penganjur dengan pereka. Maka, pereka akan membuat rekaan syok sendiri. Hanya meneka-neka sahaja arah tuju penganjur. Penganjur yang sudah committed dengan tawaran hadiah, kena pilih juga pemenang walaupun hasil karya tersebut ditangkap meniru dan menciplak.

Apa saranan saudara agar kelemahan dan kesilapan begini tidak berlaku?

Di Malaysia, kita mempunyai pakar dalam bidang masing-masing. Panggillah mereka. Bincang dan dapatkan cadangan serta pendapat dari mereka yang arif dalam bidang. Kepada yang pakar, jangan pula memberi nasihat dalam bidang yang bukan kepakaran anda. Rujuklah kepada rakan pakar anda pula. Kita ni tak pandai semua perkara. Tetapi, ada yang pandai dan berpengalaman dalam perkara-perkara tertentu. Carilah mereka…insyaAllah mereka akan bantu.

Apa kelemahan ketara yang sering anda temui dikalangan pereka/penggiat kreatif?

Taipografi. Itu yang paling sering saya jumpa. Selain dari itu ialah sikap terhadap pengurusan kerja dan pengurusan klien.