Fotojurnalis dan sesiapa yang terlibat dalam penerbitan berita visual adalah dipertanggungjawabkan untuk memastikan reputasi, kredibiliti dan integriti bidang ini dijaga supaya institusi ini sentiasa di pandang tinggi dan dipercayai oleh masyarakat. Adalah menjadi keperluan yang mendesak agar standard etika ini diamalkan dalam menjalankan tugas harian.
Berikut ialah bahagian pertama senarai etika fotojurnalisma yang perlu diambil perhatian serius oleh setiap fotojurnalis.
Etika 1: Tepat dan lengkap dalam mengutarakan sesuatu subjek
Kena pastikan siapa sebenarnya subjek yang mahu diutarakan. Tidak boleh hanya menilai atau menganggap subjek mengikut pandangan kita.

Etika 2: Menolak untuk dimanipulasi oleh lakonan gambar yang dirancang.
Contoh situasi: Protes jalanan – situasi semasa protes kelihatan normal, tapi bila hadirnya fotojurnalis mulalah penunjuk perasaan itu mengangkat poster dan melaungkan slogan hanya kerana mahu gambar mereka diambil oleh fotojurnalis tersebut dan mesej mereka sampai melalui gambar yang hendak diambil.
Secara tak langsung penunjuk perasaan telah memanipulasi fotojurnalis untuk gambar mereka diambil dan disiarkan. Seterusnya pembaca dapat melihat apa yang diperjuangkan oleh penunjuk perasaan ini. Secara tidak sedar kita memberi tanggapan yang salah terhadap masyarakat, kerana acara/kejadian tersebut tidaklah setegang yang dipaparkan melalui imej yang disiarkan. Di sini secara jelas fotojurnalis telah dimanipulasi.
“Berdirinya sebuah organisasi berita bergantung penuh kepada reputasi dan krediblitinya”
—Tony Burman, ex-editor-in-chief of CBC News, The Globe and Mail,
Persediaan seorang fotojurnalis agar tidak dimanipulasi
Sebagai fotojurnalis tugasnya ialah melaporkan perkara yang benar. Sentiasa bersedia agar tidak dimanipulasi oleh subjek. Seperti kes diatas, selalunya penunjuk perasaan tahu dengan kepentingan gambar jadi mereka akan melakukan aksi atau jadikan suasana kelihatan tegang. Cuma ambil gambar mereka sahaja tetapi tidak menyerahkan gambar “lakonan” kepada penyunting akhbar.

Etika 3: Elakkan dari meletakkan label stereotype terhadap individu atau kumpulan.
Ini merupakan isu yang agak biasa didengar terutamanya di Malaysia contohnya kalau ada sesuatu protes dilakukan atas isu ketidakpuasan hati rakyat kepada kerajaan, secara automatik penunjuk perasaan itu dilabel sebagai ahli parti pembangkang. Di sini sudah terlihat sudah laporan berat sebelah, masalahnya sekarang fotojurnalis tidak berat sebelah tetapi agenda oleh pemilik akhbar (majikan politik) yang mahukan laporan sedemikian yang menyebabkan ia berat sebelah. Isu ini juga telah menjadi satu amalan kebiasaan dalam akhbar di Malaysia.
Etika 4: Melayan semua subjek dengan rasa hormat dan bermaruah. Memberi pertimbangan istimewa kepada mangsa yang menderita dan simpati kepada mangsa jenayah atau tragedi.
Ini salah satu perkara yang sering berlaku di Malaysia terutamanya dalam membuat liputan tragedi. Oleh kerana terlalu ghairah untuk mendapatkan berita hingga menyebabkan kita lupa kesengsaraan yang dilalui oleh waris-waris mangsa.
Contohnya: seorang ibu yang kehilangan anaknya, si ibu sedang menangis. Jangan kerana terlalu teruja hendak merakamkan emosi si ibu yang sedang menangis hingga kita terlupa batas sensiviti dan menunjukkan rasa tidak peka kepada situasi hanya kerana musibah itu bukan berlaku atas diri fotojurnalis tersebut.

Etika 5: Ketika mengambil gambar subjek, dilarang sama sekali dengan niat menyumbang kepada pengubahan atau peluang untuk mengubah atau mempengaruhi sesuatu acara.
Perkara ini yang dinamakan staged photo, biar saya jelaskan perbezaan antara staged photo dan photo opportunity
Photo opportunity (gambar yang dirancang) ialah di mana anda telah disiapkan dengan gambar utama, seringnya acara yang diatur, seperti majlis pelancaran kereta atau gambar dua diplomat sedang bersalaman. Penganjur akan menyuruh subjek agar melakukan gaya tertentu.
Staged photo (gambar yang dilakonkan) ialah subjek melakukan aksi atau perlakuan atas kejadian yang tidak berlaku. Fotojurnalis menyuruh subjek melakukan perkara yang tidak dibuat oleh subjek pada masa tersebut untuk mendapat gambar yang dikehendaki. Itu adalah kesalahan terbesar.
Contohnya: dalam sesuatu tunjuk perasaan sepatutnya fotojurnalis menunggu untuk merakamkan saat-saat yang diperlukan, sebaliknya fotojurnalis menyuruh penunjuk perasaan melaungkan slogan dan menaikkan poster bagi merakamkan saat yang dikehendaki untuk menghasilkan gambar sebagaimana kehendak fotojurnalis tersebut. Walaupun ada pertikaian mengenai gambar tersebut yang mengatakan sememangnya penunjuk perasaan sering melakukan perkara sedemikian, tetapi hakikatnya pada saat gambar itu dirakam penunjuk perasaan telah diminta berbuat demikian oleh fotojurnalis.
Shamshahrin Shamsudin merupakan fotojurnalis bebas yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Malaysia. Berpengalaman lebih dari 20 tahun dalam bidang kewartawanan foto beliau pernah berkhidmat untuk agensi berita antarabangsa seperti Agence Frence Presse (AFP), European Pressphoto Agency (EPA).
Pengalamannya yang luas menjadikan beliau sering dijemput menjadi panel forum, festival foto serantau dan perunding pendidikan dalam bidang foto kewartawanan untuk institut pengajian tinggi tempatan. Artikel ditulis oleh Lokman Sokran
Ekori beliau di laman media sosial Facebook/Instagram : @shamshahrin shamsudin