Perjalanan kehidupan untuk setiap insan adalah berbeza pastinya. Susah senang, miskin kaya, sihat sakit, semuanya perlu ditelan untuk sebuah kelangsungan hidup. Fotojurnalis Kamal Selle menyelami kehidupan insan bernama Roslee yang mengharungi kehidupan di ibu kota Kuala Lumpur sebagai penghibur jalanan sebagai badut demi sesuap nasi. Ketika penonton tertawa dan terhibur melihat aksi lucunya, siapa yang menghibur hatinya yang lara?

BOLEH CERITAKAN SERBA SEDIKIT MENGENAI DIRI ANDA?

Saya berasal dari Klang, Selangor.  Selepas SPM saya melanjutkan pelajaran saya dalam bidang Fotografi di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (ITM, Shah Alam)

SEJAK BILA ANDA MULA MENCEBURI BIDANG PHOTOJOURNALISM?

Saya mula menceburi kewartawanan foto apabila saya mula berkerja untuk suratkhabar THE STAR pada hujung 2002. 

APAKAH KRITERIA ATAU PERKARA YANG PERLU DIAMBIL KIRA DALAM MEMULAKAN SESUATU PROJEK?

Perancangan. Lebih kurang, 70-80 peratus adalah perancangan. Perancangan ini adalah seperti, objektif projek, penyampaian, target audience, kerjasama subjek, masa dan budget.

APA YANG BERMAIN DIFIKIRAN ANDA KETIKA MERAKAMKAN GAMBAR?

Saya lebih ‘straight to the point’ dalam merakamkan gambar. Seperti jawapan saya sebelum ini, perancangan adalah perkara penting dalam sesuatu projek. Jika perancangan sudah di buat sebelum projek dijalankan, kita akan lebih focus dengan apa yang cuba dihasilkan. Mungkin yang bermain di fikiran saya adalah komunikasi dalam gambar. Bagaimana saya cuba menyampaikan sesuatu cerita melalui gambar kepada pembaca.

APA YANG MENDORONG ANDA MERAKAM KISAH HIDUP PENGHIBUR JALANAN DALAM HERO?

Kisah Hero adalah cerita realiti yang positif, tentang En.Roslee (HERO) bapa kepada 3 orang anak yang kesemuanya menghidapi Thalesemia. Pada saya beliau adalah seorang ‘Everyday Hero’ yang menjalani kehidupan di kota. Ketabahan beliau yang mendorong saya ingin berkongsi dengan pembaca.

BERAPA LAMA MASA YANG DIAMBIL UNTUK MENYIAPKAN DOKUMENTARI INI?

Saya merancang lebih dari setahun. Setelah berjaya menghubungi subjek (En.Roslee), saya mendekati beliau dan keluarga beliau secara rapat (on and off, with and without camera) lebih kurang 4 bulan.

ADAKAH SAUDARA TERIKAT DENGAN AGENSI BERITA KETIKA INI?

Saya berhenti dari THE STAR pada hujung tahun 2008. Sehingga kini, saya adalah seorang freelance photographer. (Jurugambar bebas)

APA YANG MENGUJAKAN TENTANG PHOTOJOURNALISM?

Pergi ke tempat yang sukar di lawati, bertemu orang dari pelbagai lapisan masyarakat, miskin-kaya, pemimpin-rakyat biasa, selebriti, belajar benda yang baru setiap kali membuat tugasan. Biasanya tanggapan masyarakat tentang fotojurnalis, ialah glamour, akses bertemu artis, dan layanan istimewa ketika membuat liputan, hakikatnya bukan setiap hari fotojurnalis akan mendapat assignment sebegini. Tak banyak yang bercerita tentang kepayahan. Seperti berada di zon konflik/perang, membuat liputan wabak-wabak, dan malapetaka. Di Malaysia ada juga fotojurnalis yang diugut, dipukul ketika menjalankan tugas. Pada saya yang mengujakan tentang photojournalism adalah kita photographer, menjadi saksi dan dapat melihat dengan mata sendiri, tentang kejadian sesuatu perkara atau berita yang berlaku kerana photographer harus berada di tempat kejadian untuk merakam detik itu.

ADAKAH KHALAYAK BENAR-BENAR MEMAHAMI SESUATU GAMBAR YANG DISIARKAN?

Keunikan tentang gambar ialah, gambar mampu memotong the ‘barrier of language’. Seperti contoh jika kita melihat gambar di Palestine, kita penduduk di Malaysia akan merasa sedih, marah kerana isu yang berlaku di situ walaupun ramai orang dari Malaysia tidak pernah ke sana. Gambar memainkan peranan penting untuk menyampaikan mesej samada untuk membuka mata ataupun membuat khalayak lebih faham tentang sesuatu isu yang berlaku. Namun pemahaman adalah bergantung kepada individu pembaca itu sendiri.

APA PROJEK IMPIAN YANG ANDA INGIN LAKUKAN?

Saya tidak mempunyai tajuk yang spesifik.  Tetapi memang impian saya untuk menghasilkan projek yang dapat membantu menyelesaikan masalah atau mungkin dapat memberi kesedaran kepada pembaca tentang isu yang di hadapi dan yang penting projek itu akhirnya di bukukan.

BAGAIMANA ANDA MENCARI INSPIRASI?

Dari bahan bacaan. Majalah, suratkhabar atau internet tentang isu-isu semasa atau yang lepas.

PADA KETIKA INI BERITA DISEBARKAN DI MEDIA SOCIAL BERKEMBANG DAN TERSEBAR TANPA MELALUI PROSES EDITING ATAU PANAPISAN TENTANG KETULENAN SESEBUAH BERITA/GAMBAR, APAKAH PERKEMBANGAN MEDIA SOCIAL AKAN MEMBANTUTKAN PEMAHAMAN MASYARAKAT TENTANG PENTINGNYA PERANANAN PHOTOJOURNALIS?

Jika melihat perkembangan pengguna media sosial, ramai yang sudah mula menapis sebelum menyebarkan sesuatu berita dan gambar. Cara yang terbaik adalah membaca lebih banyak maklumat tentang sesuatu berita sebelum menyebarkannya. Saya percaya lama-kelamaan pembaca media sosial akan lebih matang dan boleh membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Yang penting fotojurnalis ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan dan mengenengahkan isu-isu semasa. Some stories need to be told.

BOLEH ANDA KONGSIKAN SEDIKIT PENGALAMAN MENARIK KETIKA MEMBUAT LIPUTAN ATAU TUGASAN?

Pernah di kejar oleh keluarga suspek utama kes bunuh ketika membuat liputan di mahkamah Shah Alam. Ketika itu, kami (dalam 5-6 jurugambar dari pelbagai suratkhabar di Malaysia) melarikan diri daripada dipukul oleh keluarga mangsa yang mengejar kami mengunakkan payung, masuk ke dalam tandas mahkamah. Setelah beberapa minit, rakan saya, seorang jurugambar perempuan akhbar harian cina baru tersedar kami berada di dalam tandas lelaki.  Sampai hari ini saya tak akan melupakan reaksi rakan saya itu.

MENCIPTA NAMA DALAM ARENA PHOTOJOURNALISMA INI MERUPAKAN IMPIAN KEBANYAKAN PHOTOGRAPHER DI DUNIA, MALANGNYA TREND MELANGGAR ETIKA SEAKAN TIDAK TERHENTI/TERBENDUNG. APA KOMEN ANDA?

Tidak dinafikan ada yang mengejar nama dalam bidang ini. Ada yang sanggup melanggar etika agar dapat menghasilkan gambar untuk dapat pujian dari pembaca. Ada yang mengejar like dan mendapat lebih ramai followers di media sosial dan ada juga mengejar awards dan recognition. Sudah pasti apabila sudah ‘kantoi’ secara tidak lansung akan memberikan tanggapan buruk kepada industry photojournalism itu sendiri.

Ini adalah masalah hati dan semuanya bergantung kepada niat masing-masing, untuk apa dan untuk siapa sesuatu gambar dihasilkan. Tak banyak yang boleh di komen kerana setiap generasi photojournalist pasti ada 1-2 yang ‘buat perangai’.

APA NASIHAT KEPADA PHOTOGRAPHER BARU YANG CUBA BERJINAK DENGAN PHOTOJOURNALISM?

Sentiasa berfikiran terbuka, mempunyai semangat mempelajari benda yang baru, konsisten. Photojournalism bukan terletak kepada teknik fotografi semata-semata. Ianya lebih dari itu. Biasakan bercampur dengan pelbagai lapisan masyarakat. Selain dari itu, banyakkan membaca. Knowledge, information dan contact person adalah sangat penting dalam dunia photojournalism.