fbpx
Skip to content

Rekaan Jata Negara Untuk Abad Digital

Peri pentingnya rekaan yang mesra pengguna dalam semua aspek kehidupan manusia sememangnya tidak boleh dipandang ringan. Pereka baik dari segmen arkitek hingga kepada pembinaan aplikasi, kesemuanya mengambil kira maklum balas pengguna sebagai titik utama dalam memulakan projek rekaan. Dalam dunia rekaan grafik apatah lagi, bercakap tentang itu keseragaman penggunaan jata negara merupakan soal yang amat dititik beratkan kerana ianya melibatkan imej dan kedaulatan negara. Cara penggunaan yang salah boleh mengundang kontroversi, cumanya aset grafik rasmi negara amat sukar dibekalkan oleh pihak yang berkenaan. Sekiranya adapun ia tidak memenuhi spesifikasi yang diperlukan. Agensi rekaan Zachary Haris Ong & Associates mengorak langkah memulakan inisiatif pendigitalan aset jata negara. Temuramah ringkas bersama Pengarah Kreatif Arez Ezman berkongsi pengalaman tentang projek tersebut.

Mengapa projek pendigitalan Jata negara ini dilakukan?

Ini adalah ikhtiar (initiatif) kami untuk kerajaan mencipta sebuah sistem identiti yang tekal dan anjal secara menyeluruh. Niat kami bukan untuk mengganti jata negara yang sedia ada tetapi untuk memperluaskan kegunaanya di alam maya. Secara amnya, ia dapat mengurangkan kos jangka panjang dari segi digital, cetakan, serta penjenamaan. Ini juga dapat mengukuhkan kedudukan dan gambaran kerajaan Malaysia sebagai satu entiti bersepadu – seia sekata, sehati sejiwa.

Apa proses kreatif yang dilakukan dalam projek ini?

Penyelidikan kami bermula 10 tahun yang lalu di mana kami sedar bahawa negara-negara maju telah memulakan proses digitalisasi kebangsaan secara terseluruh bermula dengan jata negara mereka. Ini termasuk negara-negara seperti United Kingdom, Australia, dan New Zealand. Sejak itu, kami mula aktif dalam membantu kerajaan dari segi digital melalui projek ikhtiar Reka Bentuk untuk Pembangunan Negara kami seperti laman web Malaysia yang pertama – malaysia.my, GOASEAN, Malaysia Design Festival (MADE), acara RekaNegaraku, projek Kad Pengenalan Malaysia baharu, serta projek digitalisasi Jata Negara Malaysia.

majalah bikin jata negara

Adakah projek ini mendapat perhatian pihak kerajaan?

Kami telah mendapat perhatian daripada beberapa kementerian tertentu untuk perbincangan lanjut sebelum ini tetapi tertangguh dengan penukaran kuasa kerajaan yang kerap. Baru-baru ini, dengan izinNya, kami diberi peluang untuk menyediakan penyampaian projek digitalisasi Jata Negara kepada Pejabat Perdana Menteri.

Apakah keunikan jata negara Malaysia yang anda lihat?

Ia adalah lambang perpaduan Rakyat Malaysia yang kedua selepas Jalur Gemilang kerana ia mewakili setiap negeri, warna, dan budaya Malaysia di mata dunia.

Apa usaha yang boleh dilakukan agar Jata Negara menjadi símbol yang lebih dekat dengan Rakyat Malaysia?

Kekerapan pendekatan mesra secara digital untuk memupuk semangat kebangsaan yang agak pudar sejak kebelakangan ini.