Bagaimana kita menerjemahkan keindahan visual sinematik siri drama Gloria tanpa terjebak dalam perangkap keangkuhan pengkritik filem elit? Ini adalah usaha merayakan keharmonian seni visual dan garapan emosi—dari sudut pandang jujur seorang penonton biasa.
Saya membesar di perkampungan Felda Bukit Waha. Jarak dari kampung ke bandar Kota Tinggi mengambil masa sekitar 30 minit dengan kereta. Kota Tinggi sebuah bandar yang unik; ia titik pencantuman laluan utama—sesiapa yang mahu ke Mersing, Kuantan, Desaru, mahupun Pengerang pasti akan merentas pekan ini. Malah mengikut sejarah, Johor Lama yang merupakan pusat pentadbiran Negeri Johor ini terletak di Kota Tinggi.
Keunikan bandar ini turut menjadikan pola perdagangannya pelbagai. Selain rangkaian pasar raya serta kedai rempah India, salon atau kedai runcit Cina dan kedai makan Melayu, terdapat dua buah kedai yang agak unik mengikut pandangan saya, iaitu kedai menjual senjata api—lebih khusus lagi, kedai senapang patah.
Setiap kali melewati kedai yang terletak bersebelahan dengan Maybank di tepi Sungai Johor itu, ada sesuatu yang istimewa dan rasa teruja mula terbit. Manakan tidak, senapang pada ketika itu (malah hingga sekarang pun) merupakan senjata yang hanya boleh dilihat di kaca televisyen dalam cerita koboi Western. Keinginan untuk melangkah masuk dan melihat senjata tersebut terpaksa dipendam; saya hanya mampu memandang dari kaki lima kedai sahaja.
Tanpa disedari, ada sesuatu yang lebih kuat daripada keinginan untuk memiliki—iaitu keinginan untuk meneroka dunia yang begitu asing. Mungkin naluri untuk menyentuh senapang itu adalah percikan awal, manakala kedai muzik menjadi pintu pertama yang menuntut saya menyelami seni visual pada kulit album.
Namun kedai yang menarik minat saya bukanlah kedai mainan atau restoran makanan segera yang paling mencuri perhatian saya ketika kecil, tetapi kedai muzik yang menjual kaset dan cakera padat (CD). Setiap kali mengikut ayah dan ibu ke bandar, saya akan meminta izin untuk menjenguk ke dalam. Bukan untuk membeli—saya sedar itu di luar kemampuan kewangan ayah. Jika ayah membeli kaset sekalipun, pastinya kaset cetak rompak di pasar malam kerana harganya jauh lebih murah.
Di kedai itu, saya menghabiskan masa menatap dan membelek reka bentuk kulit luar kaset atau CD. Genre pilihan saya lebih condong ke arah rock dan metal Barat. Seingat saya, entah mengapa, saya kurang menggemari lagu tempatan waktu itu. Kulit album artis luar mempunyai daya tarikan yang sangat kuat—seolah-olah memanggil saya untuk melangkah masuk menyelami dunia muzik mereka.
Kedai muzik itu bagaikan galeri seni pertama saya. Rekaan kulit album rock dan metal menjadi pintu misteri, disebalik ada jawapan yang sedang menanti untuk ditemukan—konsep gore, dark, dan surealisme bekerja seperti poster wayang yang menjemput penonton duduk menghayati cerita. Hubungan visual ini terbawa-bawa hingga saya dewasa. Ketika berkhidmat sebagai pramugara, banyak masa lapang saya habiskan di muzium, galeri seni dan kedai muzik terpakai di London, Paris, Amsterdam, Sydney, hinggalah ke Melbourne. Kedai muzik menjadi lembah perlindungan untuk saya berteduh dan mencari ketenangan. Saya mampu berdiri berjam-jam hanya untuk membelek kulit album piring hitam.
Masa berlalu, dan kehidupan berkeluarga mengambil alih ruang yang pernah diisi oleh album piring hitam serta kedai muzik terpakai di perantauan. Saya masih sesekali mendengar Chaos A.D. oleh Sepultura atau Voice of the Wretched oleh My Dying Bride ketika memandu berseorangan—lebih kepada sentuhan nostalgia berbanding keperluan. Namun, dahaga terhadap keindahan visual tidak pernah benar-benar pudar. Cuma medianya sahaja yang berubah.
Melawat pameran seni atau muzium pada hujung minggu memerlukan perancangan yang tidak selalu terluang. Maka, ruang tamu menjadi galeri, dan Netflix bertindak sebagai kurator. Pada petang Sabtu yang senyap, ruang itulah tempat mata ini berehat dengan cara yang paling difahami oleh sanubari.
Amalan menghargai seni visual ini sebenarnya menjadi satu bentuk terapi. Malah, saya pernah bercita-cita menjadi seorang pereka grafik atau artis visual. Sifat ingin tahu yang dipupuk dari zaman kaset hingga zaman penerbangan inilah yang akhirnya menuntun mata saya pada suatu petang Sabtu yang damai.
Ketika bersantai di ruang tamu membelek tajuk di Netflix tanpa rancangan khusus, paparan utama mencadangkan siri bertajuk Gloria. Siri terbitan Portugal ini kisah fiksyen tentang anak seorang menteri yang menjadi ejen rahsia KGB pada era Perang Dingin.
Pada episod pertama, siri ini terasa agak membosankan. Jalan ceritanya perlahan. Episod pertama itu memerlukan tiga sesi berasingan untuk dihabiskan. Namun, tontonan ketiga mengubah segala-galanya. Ada sesuatu yang menahan saya untuk tidak beralih saluran.
Sebagai penonton biasa, Gloria terasa sangat berbeza. Ia bukan cerita perisikan arus perdana seperti The Bourne Identity yang sarat aksi pertarungan pantas. Ia bukan James Bond dengan gajet moden mutakhir dan letupan menara tinggi, bukan juga Mission: Impossible yang mempamerkan aksi ekstrem kereta mewah terbakar di tengah kota. Sebaliknya, Gloria menghidangkan jalan cerita yang dianyam kemas tanpa elemen bigger than life. Kemelut perisikan berlaku di pekan kecil, bertaut dengan kehidupan dan konflik percintaan gadis tempatan, pergolakan rumah tangga, kesetiaan sahabat, serta perselingkuhan—semuanya diikat rapi dengan realiti.
Matlamat saya bukanlah mengupas Gloria melalui lensa pengkritik layar. Sebagai penonton, apa yang memukau saya ialah seni layar, arahan seni, dan gaya penceritaan yang ringkas tetapi mengasyikkan.
Untuk sebuah siri slow-burn, kekemasan visual menggalas tugas berat agar penonton tidak berpaling. Pengarah Gloria berjaya menghidangkan keharmonian visual (visual harmony) yang begitu sedap dipandang, hingga saya terasa seperti sedang menatap sebuah karya seni digital.
Siri ini membangkitkan suasana bersejarah yang sangat hidup. Lokasi penggambaran di Portugal memanfaatkan bangunan lama yang dibaik pulih demi mengimbaul semula nuansa zaman tersebut. Pakaian para pelakon pula dijahit teliti seperti sesi editorial fotografi fesyen. Struktur fabrik yang menangkap pancaran cahaya menghasilkan pandangan tanpa cela—seolah-olah kita sedang menatap helaian foto majalah Vogue atau Harper’s Bazaar. Lebih mengasyikkan, estetika ini tidak terpisah daripada watak; ia dijalin secara harmoni tanpa kelihatan dangkal.
Penata busana memastikan warna pakaian sama ada melengkapi (complements) atau memberikan kontras dramatik dengan latar bilik. Bila menonton sesetengah karya tempatan, mood saya kerap terputus daripada suasana apabila melihat solekan yang terlalu tebal untuk babak harian biasa. Gloria tidak begitu; elemen visualnya bekerja secara senyap.
Saya sengaja tidak mahu mengulas aspek pencahayaan atau teknik bayang-bayang secara teknikal. Cukup sekadar mengatakan, kedua-duanya membangkitkan emosi yang seimbang dan ini adalah kekuatan terbesar estetik seni visual siri ini. Mungkin kerana saya seorang jurugambar, mata ini secara semula jadi tertarik pada komposisi visual yang berbicara tanpa dialog.
Ada dua babak yang terpahat kemas dalam ingatan:
Pertama—João duduk di dalam bangsal ladang bersama rakannya sambil mendengar rakaman yang dirampas. Cahaya keemasan petang menghujani wajahnya dari arah kiri. Tanpa dialog besar. Hanya cahaya, bayang-bayang, dan dua lelaki yang menyimpan rahsia dalam ruang yang sempit. Kamera tidak terburu-buru, dan penonton dibiarkan bernafas bersama detik itu.
Kedua—pemandangan luas kampung Gloria dari jauh. Sebatang jalan lurus menghala ke ufuk di bawah langit yang terbentang luas. Manusia hanya menjadi titik kecil dalam landskap yang tidak peduli tentang Perang Dingin atau gelora politik dunia.
Dua babak ini tidak tergesa-gesa memajukan plot, tetapi mereka mendorong perasaan. Babak berbual malam berlatarkan lampu minyak, adegan kejar-mengejar di lorong gelap, atau cahaya pagi yang menyinari puntung rokok di atas meja—semuanya membiarkan penonton meneka apa yang menerawang dalam fikiran watak utama. Bagi saya, perasaan yang hadir itulah ceritanya.
Apabila semua elemen ini bersatu—cahaya, bayang-bayang, warna busana, mood sunyi, dan seni bina lama—ia menjentik kepuasan visual maksimum. Mata tidak perlu bekerja keras; susunan elemen memimpin pandangan secara automatik. Ia keseronokan mutlak, bagaikan menatap karya seni di galeri.
Produksi sebegini menyantuni penonton untuk tidak terburu-buru. Otak kita tidak diganggu oleh plot yang berserabut atau prop yang janggal. Suasana tontonan menjadi sangat damai. Kadangkala, plot cerita hanyalah satu alasan untuk kita tetap kekal wujud dalam babak yang begitu indah.
Inilah yang saya namakan sebagai aesthetic watching—menghargai keharmonian visual sebagai tempat berteduh, sebagaimana kedai kaset menjadi lembah perlindungan saya suatu ketika dahulu. Kita tidak perlu menjadi pengkritik elit untuk menikmati seni; cukuplah dengan membiarkan mata dan sanubari kita berehat di ruang tamu sendiri.