Bina Negara Dengan Rekaan

Bagaimana kemajuan sebuah negara boleh diukur? Adakah dengan GDP? atau pendapatan perkapita rakyatnya? Bagaimana pula sekiranya kesedaran dalam bidang rekaan menjadi ukuran?
Seperti keseragaman logo agensi kerajaan atau typography rasmi Malaysia? Mungkin ada yang berpandangan ia hanyalah sekadar aspek rekaan, berapa banyak keuntungan yang boleh disumbangkan, atau berapa hasil yang dapat dikaut?

Sebuah agensi rekaan @zhoa.co telah mengorak langkah dengan memulakan dua projek rekaan untuk Malaysia iaitu Design For Nation Building dan Reka Negaraku untuk memberi gambaran bahawa kuasa rekaan mampu mengubah banyak aspek dalam kemajuan sebuah negara. Interview bersama Kamarul Izam @izamdeskies yang merupakan pengarah seni projek menyingkap lebih lanjut tentang visi di sebalik projek ini.

Apakah motivasi disebalik projek seperti Design For Nation Building?

Sepertimana kami lihat kebelakangan ini, rekabentuk sesuatu logo atau rekabentuk secara am sudah menjadi subjek popular di media sosial. Kepentingan rekabentuk sudah menembusi kesedaran umum. Kami ingin memperlihatkan kebolehan dan kekuatan rekabentuk grafik dalam melahirkan rekabentuk nasional yang bertaraf anatarabangsa, berkualiti dan bermutu tinggi.

Sebagai seorang Pengarah Seni, apakah pendekatan yang anda lakukan untuk memastikan visi dan objektif projek tercapai?

Anda perlu melakukan banyak kaji selidik, pemahaman dan pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu projek terlebih dahulu. Setiap projek mempunyai ciri-ciri dan objektif yang berbeza. Proses mengenal pasti ciri-ciri ini adalah amat penting. Salah satu cara yang saya buat adalah dengan menyoal pelbagai aspek projek terlebih dahulu sebelum proses kreatif bermula.

Apakah perkara yang paling sukar ketika menyiapkan projek ini?

Memandangkan projek ini adalah projek persendirian, maka masa yang ada kadang-kala sedikit bercanggah dengan jadual kerja yang sedia ada.

Bagaimana reaksi agensi kerajaan dengan projek Design For Nation Building?

Antara tugas sebagai profesional, kita hendaklah memberitahu tentang projek ini kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk demonstrasikan kapabiliti rekabentuk yang boleh dicapai. Walaupun kami tidak menerima apa-apa reaksi daripada agensi-agensi tersebut, kami gembira dan berpuas hati bahawa kami berjaya melakukannya dan kami mempunyai peluang untuk menunjukkan kekuatan reka bentuk. Sambutan dan reaksi pereka dan orang umum adalah positif.

Apakah impak yang ditinggalkan melalui projek Reka Negaraku?

Kami berpuas hati melaporkan bahawa bilangan orang yang menghargai rekabentuk meningkat dalam kalangan pereka dan juga orang umum. Ini bukan satu pencapaian yang mudah, tetapi kami berjaya melakukannya. Aktiviti-aktiviti kesedaran reka bentuk secara ideal hendaklah dipraktikkan secara kerap dan konsisten.

Adakah Malaysia secara umumnya telah mencapai kematangan dari segi seni grafik/visual diperingkat kerajaan?

Secara jujurnya, kita perlu mewujudkan satu Kementerian Seni Rekabentuk Grafik yang tersendiri supaya bukan sahaja dapat mencapai kematangan yang diingini, malah dapat melahirkan lebih banyak perekabentuk grafik yang bedaya saing dan maju.

Beberapa tahun lalu penciptaan logo untuk acara kebangsaan (Hari Kebangsaan/Visit Malaysia 2020) telah dihasilkan dengan cara sambil lewa dan mengundang kontroversi. Mengapa hal sedemikian terjadi?

Ini boleh dilihat sebagai simtom di mana kesedaran nilai rekabentuk teramat kurang di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya orang-orang perpangkat di posisi kerajaan. Kebanyakan dari kalangan mereka memperlekehkan rekabentuk sebagai satu aspek yang tidak penting ataupun tidak diberi keutamaan. Akan tetapi, kami yakin rekabentuk akan menjadi, ataupun sudah menjadi, satu aspek yang penting untuk kerajaan mengambil tahu sepertimana kita lihat reaksi rakyat dan respons kerajaan dalam kontroversi-kontroversi yang lalu.

Malaysia tidak kurangnya dengan badan rekaan yang diharapkan menjaga standard rekaan diperingkat kebangsaan seperti PEREKA, wREGA, Malaysia Design Council. Adakah standard design dari segi pasaran kerja dan kualiti hasil karya pereka tempatan bertambah baik dengan adanya badan tersebut?

Dengan adanya badan-badan tersebut, bukan sahaja pasaran kerja dan kualiti kerja bertambah baik, malah hal ehwal pereka grafik akan lebih terjaga. Contohnya, peranan utama wREGA sebagai Pertubuhan Wakaf Reka Grafik Malaysia adalah untuk menjaga dan menstrukturkan ‘professionalism’ di kalangan pereka-pereka grafik. Dengan menaiktaraf seseorang pereka dari sudut ‘professionalism,’ maka pereka tersebut boleh menuntut gaji lebih tinggi, mendapat projek-projek yang menarik dan terserlahnya nilai-nilai professional.

Apakah cabaran yang di hadapi dalam menyiapkan kedua-dua projek ini?

Tiada cabaran khusus yang kita hadapi. Sebaliknya, ia adalah satu penghormatan yang besar bagi kami kerana dapat peluang menghasilkan kedua-dua projek ini.

ZHOA agency dilihat cuba mendepani industri rekaan dengan menonjolkan kepentingan rekaan dalam semua aspek melalui projek Reka Negaraku/Design For Nation Building. Mengikut penilaian saudara, dimanakah industri rekaan berdiri ketika ini?

Pada pendapat saya, standard industri rekaan pada masa kini masih lagi di tahap kurang dalam kesedaran nilai-nilai yang penting. Saya boleh katakan kekurangan kesedaran ini adalah dari semua pihak: kerajaan, syarikat swasta, orang umum dan kadangkala dari pereka grafik sendiri. Kita boleh membuat satu kesimpulan yang mudah dengan membuat perbandingan antara Malaysia dengan negara lain, contohnya Singapura. Singapura mempunyai dasar rekabentuk kebangsaan yang memperkuatkan lagi industri reka bentuk yang dipelopori semenjak 2007. Malaysia masih bergelut dengan kontroversi logo dan kita amat ketinggalan dalam aspek ini.

Di era digital sekarang, apakah skill tambahan seorang pereka perlu ada?

Kebolehan untuk mengadaptasi dan peka terhadap keperluan semasa.

Ada pendapat menyatakan sekolah rekaan tidak mempersiapkan graduan kepada tuntutan kehendak pasaran kerja yang semakin mencabar? Adakah anda bersetuju dengan kenyataan tersebut?

Saya sangat bersetuju kerana kebanyakan pusat-pusat pendidikan hanya mementingkan skor dan gred di dalam kelas, tetapi tidak pada pengalaman dan pengetahuan semasa di tempat kerja.

Apakah kualiti yang anda lihat dalam mengambil pereka baru ?

Mereka yang mempunyai keinginan yang kuat dalam rekabentuk grafik, tidak mementingkan diri, selalu ada sikap ingin tahu dan sentiasa ingin menjadi lebih baik dan maju.