Skip to content

Menatap Layar dan Terapi Aesthetic Watching

Bagaimana kita menterjemahkan keindahan visual sinematik siri drama Gloria tanpa terjebak dalam perangkap keangkuhan pengkritik filem elit. Ini adalah usaha merayakan keharmonian seni visual dan garapan emosi dari sudut pandang jujur seorang penonton.

Dari Bukit Waha ke Kaki Lima Kota Tinggi

Saya membesar di perkampungan Felda Bukit Waha. Jarak antara kampung dan bandar Kota Tinggi mengambil masa sekitar 30 minit dengan kereta. Kota Tinggi merupakan sebuah bandar yang agak unik kerana menjadi titik pencantuman laluan antara bandar atau daerah; sesiapa yang ingin ke Mersing, Kuantan, Desaru, mahupun Pengerang pasti akan melalui pekan ini. Malah, restoran KFC sudah wujud di sini 30 tahun lebih awal sebelum kemunculan mana-mana rangkaian makanan segera lain seperti McDonald’s yang hanya dibuka sekitar tahun 2010.

Keunikan bandar ini turut menjadikan pola perdagangannya pelbagai. Selain rangkaian pasar raya serta kedai runcit India dan Cina, terdapat dua buah kedai yang saya fikir agak sukar ditemui di mana-mana bandar lain di Malaysia, iaitu kedai menjual senjata api—lebih khusus lagi, kedai senapang patah. Setiap kali melewati kedai yang terletak bersebelahan dengan Maybank di tepi Sungai Johor itu, saya merasakan ada sesuatu yang istimewa dan satu perasaan teruja mula terbit. Manakan tidak, senapang pada ketika itu (malah hingga sekarang pun) merupakan senjata yang hanya boleh dilihat di kaca televisyen dalam cerita koboi Western. Jadi, keinginan untuk melangkah masuk dan melihat senjata tersebut terpaksa dipendam; saya hanya mampu memandang dari kaki lima kedai sahaja.

Galeri Seni Cetak Rompak & Lembah Perlindungan

Namun, ada sebuah lagi kedai yang mencuri perhatian saya ketika kecil. Bukan kedai mainan atau kedai makanan segera, tetapi kedai muzik yang menjual kaset dan cakera padat (CD). Setiap kali mengikut ayah dan ibu ke bandar, saya akan meminta izin untuk menjenguk ke dalam kedai muzik tersebut. Bukan untuk membeli, kerana saya tahu perkara itu di luar kemampuan kewangan ayah. Jika ayah membeli kaset sekalipun, pastinya kaset cetak rompak di pasar malam kerana harganya jauh lebih murah.

Di kedai itu, saya akan menghabiskan masa yang agak lama semata-mata untuk menatap dan membelek reka bentuk kulit luar kaset atau CD tersebut. Genre yang menarik minat saya ketika itu lebih condong ke arah rock dan metal Barat. Seingat saya, entah mengapa, saya kurang gemar mendengar lagu-lagu tempatan pada waktu itu. Bagi saya, kulit album artis rock dan metal Barat mempunyai daya tarikan yang sangat kuat, seolah-olah mendorong saya untuk menyelami jenis muzik sebenar yang mereka bawakan.

Ketika itu, kedai muzik bagaikan sebuah galeri seni bagi saya. Rekaan kulit depan kaset atau CD yang ditatap itu menjadi pintu yang membuka sifat ingin tahu mendorong saya mahu melangkah ke sempadan yang seterusnya. Konsep misteri, gore, dan dark bagaikan poster wayang yang menjemput penonton untuk duduk dan menghayati cerita di sebalik lagu. Hubungan dengan visual ini berterusan sehingga dewasa; ketika berkhidmat sebagai pramugara, banyak masa lapang saya habiskan di muzium dan kedai muzik terpakai, sama ada di London, Paris, Amsterdam, Sydney, mahupun Melbourne. Bagi saya, kedai muzik seakan-akan sebuah lembah selamat untuk saya berlindung dan mencari ketenangan. Saya mampu menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk membelek kulit album piring hitam. Malah, pada satu ketika sewaktu masih terbang dahulu, saya pernah memiliki koleksi piring hitam yang agak banyak.

Tanpa disedari, amalan menghargai seni visual ini sebenarnya telah menjadi satu bentuk terapi buat saya—malah saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pereka grafik atau artis visual. Sifat ingin tahu yang dipupuk dari zaman kaset sehingga zaman terbang inilah yang akhirnya menuntun mata saya pada suatu petang Sabtu yang damai.

Sari Perlahan yang Mengubah Titik Pandang

Ketika itu, saya sedang bersantai di ruang tamu untuk menonton rancangan televisyen di Netflix, membelek dari satu tajuk ke satu tajuk tanpa menetapkan sebarang genre khusus. Sedang sibuk mencari cerita, paparan utama mencadangkan siri bertajuk Gloria. Siri TV terbitan Portugal ini berkisar tentang seorang anak menteri Portugal yang menjadi ejen rahsia KGB ketika era Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Pada episod pertama, siri ini terasa agak membosankan dengan jalan cerita yang perlahan. Malah, saya terpaksa mencuba sebanyak tiga kali semata-mata untuk menghabiskan episod pertama tersebut. Namun, tontonan kali ketiga telah mengubah pandangan saya sepenuhnya. Ada sesuatu yang menarik minat saya untuk tetap setia menonton siri TV yang pada awalnya saya anggap ‘bosan’ ini.

Sebagai penonton biasa, Gloria terasa sangat berbeza. Ia tidak seperti cerita perisikan arus perdana yang sering kita tonton seperti The Bourne Identity—yang sarat dengan aksi, pertarungan pantas, dan risikan global. Ia juga tidak seperti James Bond yang disokong oleh pasukan canggih serta peralatan risikan moden mutakhir untuk menumbangkan pengganas global diserikan dengan letupan menara tinggi, atau Mission: Impossible yang menggambarkan bagaimana manusia biasa menggunakan teknologi demi menumpaskan konspirasi dunia bersama kumpulan yang kecil mahupun membakar supercar di tengah kota. Sebaliknya, Gloria menghidangkan jalan cerita yang dianyam begitu kemas tanpa elemen bigger than life (cereka yang melampaui realiti). Kemelut perisikan yang berlaku dihidangkan dengan berlatarbelakangkan di sebuah pekan kecil bernama Gloria, pertembungan watak utama dengan gadis tempatan, pergolakan keganasan rumah tangga, tema kesetiaan sahabat, serta perselingkuhan cinta—semuanya dianyam selari dengan keseluruhan konsep cerita.

Tekstur Era dan Jahitan yang Menangkap Cahaya

Namun, matlamat saya bukanlah untuk mengupas Gloria daripada lensa seorang pengkritik layar. Sebagai penonton, apa yang benar-benar memukau dan menarik perhatian saya ialah seni layarnya, arahan seni, serta gaya penceritaannya yang seakan begitu mengasyikkan. Untuk sebuah siri TV yang menggunakan gaya slow burn (penceritaan perlahan), kekemasan dan kualiti visual yang tinggi perlu menggalas tugas berat agar penonton tidak menukar saluran. Pengarah Gloria berjaya menghasilkan kualiti cerita dengan keharmonian visual (visual harmony) yang sangat sedap dipandang, hinggakan saya terasa seakan-akan sedang menatap sebuah karya seni digital—cuma bezanya, ia terpapar di layar TV.

Siri ini berjaya menyerlahkan suasana bersejarah yang sangat hidup kerana lokasi penggambarannya dilakukan di Portugal. Bukan itu sahaja, bangunan-bangunan lama yang bersejarah dibaiki semula demi mengembalikan nostalgia masa dan membangkitkan nuansa zaman tersebut.

Pakaian para pelakon juga dijahit dengan sangat kemas, seakan-akan sebuah objek seni. Sentuhan jahitan yang teliti, ditambah dengan struktur fabrik pakaian yang menyerlah apabila terkena pancaran cahaya, menghasilkan satu pandangan yang tiada celanya. Babak-babak yang memaparkan pelakon digambarkan dengan begitu estetik, membuatkan penonton terasa seperti sedang menatap helaian foto kempen fesyen daripada majalah Vogue atau Harper’s Bazaar. Lebih mengasyikkan lagi, elemen estetika tersebut tidak memisahkan watak dan pakaian daripada realiti—sebaliknya, ia dijalin dengan harmoni tanpa melahirkan kesan yang dangkal (superficial).

Kostum dalam babak-babak tersebut bukan sekadar pakaian; ia dilayan seperti sebuah karya seni. Potongan sut tahun 1960-an yang rapi, garisan struktur pada pakaian gaun, dan cara fabrik tersebut memantulkan cahaya, semuanya direka untuk kelihatan sempurna. Siri ini memastikan warna pakaian sama ada melengkapi (complements) atau memberikan kontras yang dramatik dengan bilik tempat watak itu berdiri.

Saya berusaha untuktidak menyelami aspek penggunaan cahaya, bayang-bayang yang digunakan untuk elemen emosi dan dramatik secara mendalam untuk mengelakkan tulisan ini berbaur ulasan layar. Namun penggunaan kedua-dua teknik yang menonjol membangkitkan mood dan perasaan yang seimbang untuk setiap babak.

Melampaui Plot: Terapi Visual dari Ruang Tamu

Apabila semua elemen ini bersatu—apabila cahaya sepadan dengan pakaian, cahaya, bayang-bayang dan seni bina seterusnya diadun kemas dengan sudut kamera yang tepat—ia menjentik satu kepuasan visual yang maksimum dalam pemikiran. Mata yang menonton tidak perlu bekerja keras untuk menumpukan perhatian kerana elemen yang disusun rapi itu memberikan panduan secara automatik. Ia merupakan satu keseronokan yang mutlak bagi mata yang memandang, bagaikan menatap sebuah bangunan yang direka dengan sempurna atau sebuah mahakarya di muzium.

Apa yang lebih menarik lagi ialah hasil produksi seperti ini menyantuni perasaan kita untuk tidak terburu-buru dalam menikmati sesebuah cerita. Otak dan pemikiran kita tidak diganggu oleh plot cerita yang berbelit atau prop penggambaran yang pelik. Suasana (mood) tontonan terasa begitu damai.

Kadangkala, plot cerita hanyalah satu alasan untuk kita tetap kekal wujud dalam babak yang begitu indah.

Saya fikir, inilah yang dinamakan sebagai kaedah aesthetic watching—di mana kita menghargai keharmonian visual atau bahan bersejarah yang digambarkan melalui seni skrin yang indah. Sebagai penonton, ia melangkaui jalan cerita dan mutu lakonan, kerana untuk menimati sesuatu fielm atau siri tv kita tidak semestinya terhenti sekadar untuk mengetahui permulaan, perkembangan, atau kesudahan sesebuah plot. Sebaliknya, ia adalah tentang kerja keras pihak produksi untuk memastikan siri TV ini kekal relevan untuk ditonton dalam dekad-dekad mendatang. Bagi saya, keharmonian visual sebegini adalah ‘gemala’ yang memancarkan cahayanya sendiri—sebuah batu permata berhikmat yang memuaskan pancaindera, cukup memadai buat orang seperti saya yang mahu menikmati seni visual digital tanpa perlu meninggalkan keselesaan ruang tamu dan tidak terlajak lalu menjadi angkuh untuk berdiri dalam kelompok pengkritik elit filem.