Selamat Datang ke Masa Depan

Artis yang paparkan kali ini mempunyai senarai portfolio tugasan dari jenama antarabangsa yang berjela-jela. Walau begitu ia bukanlah faktor utama mengapa beliau ditemuramah. Meneliti setiap karya peribadi beliau, artis yang mahu lebih dikenali sebagai Art:Tech mempunyai suara yang tersendiri. Bukan sekadar itu imej gelap dan misteri beliau menarik minat BIKIN untuk menyelami apa yang bermain difikirannya kala menghasilkan karya.

Karya anda banyak dipengaruhi oleh tema futuristik/steampunk dengan persembahan konsepsual. Apakah yang menarik minat anda bila menerapkan gaya tersebut dalam berkarya?

Memang sejak dari kecil saya sudah tertarik dengan idea-idea futurism. Samada sci-fi atau sci-fact. Sebenarnya steampunk bukanlah genre kegemaran saya, lebih kepada minat terhadap machinery dan robotik membuatkan ia nampak seperti steampunk. Seingat saya, pertama kali timbul minat dengan unsur-unsur futurism ini adalah semasa saya pertama kali menonton filem Back To The Future dahulu. Sesuatu tentang aesthetic mesin masa Delorean itu menjadi sumber inspirasi saya. Tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sudah tidak banyak melukis unsur-unsur machinery. Sudah berubah angin.

Dalam nota seni “Suapkan Kebenaran” (betulkan kiranya saya salah) anda menggambarkan bahawa karya seni oleh seorang artist mesti mempunyai makna dan mesej? bagaimana sesuatu karya itu boleh dipanggil seni?

Pertama, ada beza diantara artist & craft maker. Hasil seni & kerja seni. Karya seni & produk seni. Pejuang seni & pengilang seni. Dari perspektif artist, seni itu cuma medium. Sama seperti buku, lagu, filem, atau status Facebook. Ia medium untuk menyampaikan mesej atau idea atau penceritaan. Mesti ada motivasi disebalik penghasilan karya itu. Ada pengisian. Saya pernah berpendapat bahawa karya seni yg baik adalah dimana artist itu bisa menerangkan atau menulis tentang karya mereka. Menunjukkan yang ada thought process berlaku sebelum penghasilan karya.

Persoalan saya, mana mungkin penulis lirik hasilkan lagu tanpa isi. Mana mungkin pengarah filem hasilkan filem tanpa perancangan atau tujuan. Mana mungkin penulis buku atau puisi menulis tanpa arah. Sama prinsip patut diterapkan kepada penghasilan karya visual. Cuma bezanya seni visual memberikan kita kebebasan aesthetic & penyampaian abstrak. Karya seni yang bagus patut objective kepada penciptanya, tetapi subjektif kepada penerimanya, tanpa meminggirkan dedikasi kepada skill dan teknik pengkarya itu. Saya kadang-kala muak melihat penghasilan (atau menghasilkan sendiri) karya yang sambil lewa, kemudian menyerahkan kepada penonton sepenuhnya untuk memberi makna kepada karya tersebut – dengan alasan ‘seni adalah subjektif’ dan ‘abstract‘ semata-mata. Terasa seperti kena scam. Dan amalan ini menghasilkan kelambakan ‘artist’ yang merasakan ianya mudah untuk menjadi artist.

Padahal status artist pernah menjadi setaraf dengan academia. Dipandang tinggi masyarakat sebab bukan semua manusia punya pemikiran, perspektif, bakat dan skill seperti artist. Artist dahulu bukan semata-mata melukis, mereka juga belajar atau mendalami banyak subjek2 diluar bidang seni. Mereka punya persoalan, ideologi, pegangan atau perjuangan. Karya seni adalah cebisan pemikiran seorang artist. The artist is the art. Tetapi saya juga faham, kadang kala ada hasil karya yang dihasilkan atas dasar keseronokan berkarya. Saya juga tidak terlepas dari proses ini. Menghasilkan karya yang bebas dari makna dan cuma mengekspresi imaginasi sendiri. Cuma saya tidak anggap ini sebagai hasil seni yang bagus. Saya anggap ini adalah eksperimen atau latihan. Kadang kala saya bezakan antara ‘artwork’ dan ‘illustration’. Ini bermakna, bukan semua hasil karya saya adalah selayaknya ‘artwork’.

Bagaimana sekiranya penonton menafsirkan mesej berbeza dari apa yang anda mahu sampaikan?

Seperti yang saya nyatakan, karya seni patut objektif kepada penciptanya, tetapi subjektif kepada penerimanya. Jadi saya tidak ada masalah jika penonton mahu menafsir mengikut perspektif mereka sendiri. Tapi jika ditanya, saya akan terangkan. Selalunya saya akan sediakan siap-siap nota seni.

Saya tertarik untuk mengetahui tentang tugasan untuk OCBC. Bagaimana badan korporat seperti perbankan begitu terbuka dengan gaya karya anda? Apa yang menarik perhatian mereka?

Projek itu datang semasa saya masih membuat karya-karya yg berbentuk illustrasi. Mungkin pada masa itu, gaya karya saya lebih mesra masyarakat. Tidak terlalu bermesej atau terlalu gelap. Seni santai, jamuan untuk mata. Pencucu mulut, bukan hidangan utama. Jadi lebih mudah diterima klien-klien korporat. Tapi itu cerita lama. Sembilan tahun lepas. Obviously saya berubah dan karya saya turut berubah. Sejujurnya sudah kurang projek seperti itu masuk ke dalam bakul saya.

Anda seorang artist/designer bebas yang mendapat tugasan dengan jenama besar tempatan dan antarabangsa. Mungkin anda boleh kongsikan bagaimana anda membina portfolio dan mendapat perhatian agensi dan jenama?

Keep doing art without expecting anything in return. Itu sahaja. Saya ambil masa bertahun-tahun. Sejak 2003 saya mula memuat naik kerja seni ke laman forum. Tidak pernah terlintas dalam pemikiran saya pada waktu itu tentang projek-projek ini semua. Sejujurnya saya tidak pernah mempromosi diri sendiri, saya sendiri tidak pasti dari mana mereka dapat tahu tentang saya. I guess if the work is good, sooner or later people will recognise.

Berapa banyak kebebasan dalam berkarya yang anda dapat bila mendapat tugasan komersial?

80%. 20% adalah brief dari client.

Boleh kongsikan bagaimana proses kreatif dibuat dan berapa lama masa diambil, contohnya karya seperti Suapkan Kebenaran?

Tidak menentu. Untuk karya peribadi, saya tidak tetapkan masa. Suapkan Kebenaran dimulakan pada 2016. Dibiarkan. Disiapkan sedikit demi sedikit pada 2017. Disimpan setahun. Dipersembahkan pada hujung 2018. Ini proses sejak 3-4 tahun lepas, dimana saya memutuskan untuk tidak terlalu tergesa menghasilkan karya. Tidak memaksa diri. Buat untuk diri sendiri, bukan kerana hendak kejar progress. Tetapi sebelum itu, proses saya agak cepat. Sebenarnya kebanyakan masa dihabiskan dalam process ideation. Membaca, research, membuat nota, study & sketch. Proses ini mungkin ambil masa sekurang-kurangnya seminggu. Bila sudah ada idea yang bagus, process untuk melukis itu boleh sepantas dua hari sahaja. Idea yang mahal.

Boleh saya katakan karya peribadi anda adalah manifestasi diri anda sendiri mengenai kehidupan masa depan, gaya pemikiran, pergelutan emosi contohnya seperti TO THE FUTURE AND BEYOND dan T2A. Adakah ia tetap konsisten untuk satu masa yang panjang?

Futurism, perjuangan Resource Based Economy dan persoalan-persoalan realiti fizikal akan sentiasa konsisten dan akan cuba diterapkan sebanyak mungkin; mungkin terselit dicelah-celah tapi tetap akan ada. Ekspresi emosi mungkin kurang atau tidak ada langsung, sebab pada saya, terlalu banyak karya diluar sana yang menceritakan tentang diri sendiri; “Ini aku, ini apa aku rasa hari ini, ini apa aku rasa hari itu, ini sejarah aku, ini waktu kecil aku, ini pengalaman aku, ini aku, ini aku.” Seperti status Facebook yang hari-hari cuma menceritakan tentang diri sendiri. Jadi saya cuba untuk tidak menambahkan bilangan kelambakan karya seperti ini. To The Future And Beyond itu berlainan sedikit sebab memang sepatutnya continuity daripada amalan tahunan saya setiap kali tahun baru. Untuk menyimpulkan pengalaman tahun lepas dan pengharapan tahun seterusnya. Jadi memang tujuannya berpaksikan diri sendiri. Ini satu-satunya karya yang bersifat sebegini. T2A mempunyai 3 perspektif. Bukan semata penceritaan emosi sendiri.