Tidak Tunduk Dengan Hukuman Manusia

Anak jati Kuala Lumpur ini meminati seni visual fotografi sejak bangku sekolah lagi. Tanpa menjalani pendidikan formal dalam bidang ini beliau mengorak langkah membentuk hasil karya seni beliau sendiri. Nadia J Mahfix tidak metakkan dirinya dalam kelompok genre tertentu bila berkarya menjadikan hasil kerja seni malah beliau selesa dengan perjalanan seninya. Ekori Nadia di @imaginnadia untuk mengetahu lebih banyak lagi apa yang bersarang dilubuk hatinya.

Boleh ceritakan mengenai diri saudari?

Saya berasal & membesar di Kuala Lumpur. Seorang “freelance photographer”. Tiada apa sangat yang menarik boleh diceritakan tentang diri saya. Kecuali apa yang saya tahu, saya memang meminati seni fotografi semenjak di bangku sekolah lagi. Kebanyakkan tentang fotografi saya belajar sendiri; melalui internet, majalah-majalah fotografi & juga pemerhatian terhadap hasil-hasil fotografer lain.

Mengapa anda memilih konsepsual/surreal sebagai medium?

Terus terang, saya tidak pernah melabel hasil kerja saya sebagai konsepsual atau surreal. Itu mungkin pandangan daripada orang ramai berkenaan hasil kerja saya. Saya tidak begitu menekankan tentang label/genre fotografi. Cuma lakukan sahaja dengan gerak hati atau ikut suka masing-masing.

Bagaimana proses pembinaan sesebuah cerita/tema bermula?

Susah juga hendak dihuraikan sebabnya proses pembinaan tema itu selalunya berlaku secara organik. ‘Dia’ datang dari dalam.

Ada penonton memahami sepenuhnya kasil karya anda?

Sudah tentunya ada. Hasil karya saya bukanlah susah sangat mahu difahamkan, rasanya.

Apa yang anda mahu penonton rasakan ketika melihat karya anda?

Secara jujur, itu bukan perkara yang penting untuk saya. Sebab saya berkarya untuk saya bukan untuk penerimaan umum. Kalau ada yang dapat merasakan sesuatu dari hasil karya saya, sama ada baik atau buruk. Itu terpulang kepada masing-masing.

Anda merupakan pelajar jurusan psikologi, adakah ia penyebab lahirnya projek seperti “into nothingness” dan “between two mysteries”?

Mungkin juga. Sebab kecenderungan saya dalam cuba memahami tentang kewujudan, tentang hidup & mati secara tak langsung mempengaruhi hasil kerja saya. Seperti kerja saya “Into Nothingness”, ia satu percubaan eksplorasi tentang alam selepas mati. Ke mana kita akan pergi, adakah kepada ‘kegelapan’ atau ke arah ‘cahaya’. Tentang “Between Two Mysteries” pula, ia merupakan pseudo-dokumentari tentang kepercayaan masyarakat yang tinggal di kaki Gunung Kinabalu. Ia masih belum habis sepenuhnya & jika ada peluang, mungkin saya akan sambung.

Boleh ceritakan mengenai “ghost from the past” adakah mereka berkaitan dengan keluarga anda?

“Ghost from the past” adalah sebuah visual-diari tentang keluarga saya. Itu saja yang dapat saya jelaskan.

Adakah seseorang itu perlu mempunyai falsafah untuk berkarya?

Tidak semestinya. Kalau mahu berkarya, berkarya ajalah. Lakukan dengan seikhlas yang boleh.

Andakah gambar itu sepatutnya mengundang persoalan atau jawapan?

Yang penting bukannya untuk mengundang persoaalan atau pun jawapan. Yang lebih penting, mengundang reaksi. Gambar yang secara estetiknya sempurna mungkin ‘kosong’. Seperti kita tengok gambar model dimajalah. Apa reaksi yang kita dapat? Tak tau lah bagi orang lain, tapi bagi saya tiada apa pun.

Apa yang boleh saya fahami, Berdasarkan profil menggambarkan diri anda mahu keluar dari system kehidupan sedia ada (social contract), apa yang mendorong pemikiran sedemikian?

Sebab bagi saya setiap sistem itu bagaikan satu bentuk kongkongan dalam kehidupan. Saya tidak percaya kepada ‘hukum’ yang ditetapkan oleh manusia tetapi saya masih berpegang kepada hukum yang ditentukan oleh Tuhan, walaupun saya sedar perjalanan saya masih belum lagi sempurna. Dan saya percaya hidup kita lebih daripada hanya repitasi pejamcelik + belajar + kerja + kahwin + buat anak sehingga mati. Saya harap kamu faham apa yang saya cuba sampaikan di sini.

Adakah anda akan mengekalkan gaya begini ataupun mempunyai cadangan untuk mencuba gaya fotografi yang lain?

Apa yang saya tahu, gaya saya  mungkin cuma dari segi warna gambar saya lebih cenderung kepada hitam putih. Jadi saya mahu cuba hasilkan gambar yang ‘berwarna’ & lihat adakah hasilnya impaknya masih sama dengan kerja saya yang sebelumnya.

Adakah seorang artis  itu perlu meletakkan dirinya dalam satu genre yang khusus dalam menghasilkan karyanya?

Seperti ada yang saya sebutkan sebelum ini, saya tidak percaya kepada label atau menghadkan diri dengan genre yang spesifik. Sebagai artis, anda perlu untuk cuba lebih bersikap terbuka untuk menghasilkan karya. Tetapi kalau seseorang artis itu sudah suka dan selesa dengan sesuatu genre, maka teruskanlah.

Seseorang pada hari ini terdedah kepada beratus malah beribu imej sepanjang hidupnya akibat kepesatan media social, berbanding dua dekad yang lalu. Pada pendapat anda adakah ini akan menyebabkan khalayak akan kurang menghargai seni fotografi?

Itulah permasalahan yang sering didebatkan. Ia ibarat pepatah Inggeris, “finding a needle in the haystack”. Antara 1000 gambar yang muncul di skrin anda, bagaimana mahu diletak nilainya? Jadi mungkin seni fotografi diambil mudah oleh orang ramai. Tapi saya percaya, masih lagi ramai yang pandai menghargai seni fotografi walaupun sudah didedahkan dengan beratus ribu imej.

Boleh kongsikan pengalaman tersenarai untuk Asia Women Photographer Showcase?

Ia satu pengalaman yang menarik & menyeronokkan, dikelilingi oleh penggemar seni visual fotografi dari beberapa negara jiran. Juga dapat bertukar pendapat tentang dunia fotografi.

Apakah tema/topic yang anda mahu tonjolkan dimasa akan datang?

Buat masa ini, belum ada terfikir apa-apa lagi tema atau topik yang mahu ditonjolkan buat masa akan datang.

Sekiranya anda diminta memperkenalkan Malaysia di mata dunia  melalui tiga keping foto dari tiga fotografer tempatan, siapakah mereka?

Ramai fotografer yang bagus. Ini 3 antaranya :-

Nadirah Zakariya (www.nadirahzakariya.com), Rahman Roslan (www.rahmanroslan.com) & Mohd Azlan Mam (www.azlanmam08.com). Mereka ini saya anggap ada gaya tersendiri.