Anak jati Kuala Lumpur ini amat mencintai kotarayanya, setiap lorong dan simpang di kota ini menyimpan bibit memori hidupnya. Sungguh hiruk-pikuk dan ragam kotaraya yang mencabar dan kasar ia masih tetap menjadikan beliau seorang lelaki budiman, yang peka kepada sekelilingnya. Kerjaya sebagai pelukis visual 3D juga banyak mempengaruhi sebahagian dari hasil kerja beliau. Graffiti di dinding kedai -kedai lama, peniaga kebab dari timur tengah, senibina bangunan moden di Kuala Lumpur, hiasan dalaman kedai kopitiam banyak memenuhi galeri facebook beliau. Tetapi projek Temuan dan Toba yang banyak menyingkap sisi lain beliau.

Boleh ceritakan serba sedikit tentang penglibatan anda dalam bidang seni visual?

Saya mula tertarik dengan bidang ini apabila diperkenalkan kepada seni fotografi dan batik lukis oleh guru seni visual semasa di Sekolah Menengah Seri Ampang, Selangor.  Selepas dari zaman sekolah bagaimanapun, saya tidak pernah melibatkan diri secara sepenuh masa dalam kedua-dua cabang seni tersebut sehinggalah saya memulakan kerjaya sebagai seorang jurulakar senibina (3D Visualizer) pada tahun 1999.

Kerjaya anda sebagai juru lukis 3D senibina, boleh ceritakan serba sedikit mengenai kerjaya anda?

Lakaran 3D senibina adalah satu ilustrasi yang digunakan oleh jurureka atau pemaju hartanah sebagai satu gambaran yang digunakan dalam perbincangan, kelulusan jabatan kerajaan dan dalam aktiviti pemasaran yang dapat menunjukkan gambaran sebenar sesuatu pembangunan.  Untuk mendapatkan hasil yang baik, seorang 3D Visualizer bukan sahaja memerlukan kepakaran komputer, malah juga perlu memiliki pengetahuan komposisi visual yang baik, kerana pada kebanyakan masa semasa kitaadaan agensi pemasaran, jurureka dan pemaju bergantung kepada  3D Visualizer untuk menghasilkan lakaran yang dapat menarik minat pembeli.

Berapa lama sesuatu projek lakaran perlu disiapkan?

Masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu lakaran bergantung kepada skop kerja dan tahap kerumitan kerja tersebut, iaitu ia banyak bergantung kepada skala pembangunan dan tahap lakaran yang diperlukan.  Untuk tujuan perbincangan, ia boleh mengambil masa antara satu ke lima hari, manakala untuk kegunaan pengiklanan dan pemasaran, ia boleh menjangkau masa dua minggu.

Adakah anda dibenarkan menerapkan sesuatu gaya/pengaruh dalam menyiapkan sesuatu lakaran?

Ya, tetapi tidak sepenuhnya.  Walaupun sesetengah arkitek sudah menentukan setiap elemen dalam projek tersebut, terdapat juga arkitek yang membiarkan kami bebas menentukan bahagian-bahagian lain, komposisi warna serta mood keseluruhan.

Apakah projek yang begitu menarik minat anda?

Saya selalu tertarik dengan projek-projek yang dapat memberi kesan positif kepada masyarakat, seperti taman awam dan  lanskap kawasan perumahan.  Sebagai contoh adalah satu projek pembinaan lanskap di hadapan sebuah menara pejabat di ibukota yang dapat memberikan kemudahan kepada pekerja pejabat khususnya untuk berihat seketika sebelum menyambung kerja atau pulang ke rumah.  Ia merupakan projek yang mudah dan ringkas tetapi kesan psychologynya yang saya minati.

Dalam bidang fotografi juga saya dapat lihat anda banyak memaparkan senibina/lanskap, saya pasti ia adalah pengaruh dari kerjaya anda?

Sebenarnya ada banyak keindahan dalam senibina landskap dan bangunan yang jarang diperhatikan.  Saya dibesarkan di Kuala Lumpur, sebuah bandaraya yang terlalu sibuk mengejar kemasyhuran.  Apa yang saya ambil (capture) dalam tidak sedar (subconscious mind) sebenarnya adalah langkah kembali ke zaman yang tertinggal.  Banyak yang kita tinggalkan.

Adakah anda mempunyai genre fotografi yang berbeza yang ingin diketengahkan?

Saya juga meminati bidang dokumentari perjalanan yang secara tidak langsung dapat mempamerkan perbezaan budaya kaum setempat.  Mungkin ini suatu kebetulan kerana saya amat sukakan perbezaan.

Projek temuan merupakan dalam bentuk dokumentari, boleh ceritakan tentang projek ini?

Saya diperkenalkan kepada satu perkampungan suku kaum Temuan di Kampung Tekir, Negeri Sembilan oleh seorang rakan kerja.  Pada ketika itu beliau sedang cuba mengumpul dana dan sumber tenaga untuk membina sebuah sekolah kanak-kanak di kampung tersebut.  Usahanya amat mengagumkan dan menarik minat saya untuk lebih mengenali mereka, lantas bermulalah niat untuk menceritakan tentang mereka kepada rakan-rakan.

Apa pendapat anda tentang kehidupan orang asli temuan? Adakah pembangunan telah meminggirkan keperluan hidup mereka?

Dalam pemerhatian saya, mereka amat mesra dan mudah berkongsi budaya.  Walaupun hidup dikelilingi pembangunan, mereka masih selesa mengamalkan budaya serta gaya hidup asal turun-temurun.  Adat istiadat perkahwinan dan perayaan masih mengikuti asas-asas budaya yang pekat sambil dicampurkan sedikit dengan corak budaya moden.

Adakah anda merancang untuk menyabung projek temuan ini?

Saya memang mempunyai perancangan untuk menceritakan lebih lanjut mengenai semua suku kaum asli di negara ini kerana mereka adalah sebahagian daripada kita.  Saya juga ingin tahu tentang visi dan perancangan mereka untuk sama-sama maju ke hadapan.

Sebagai seorang yang terlibat dalam bidang rekaan senibina, pada pendapat anda adakah system perancang bandar memenuhi keperluan penduduk bandar secara khusus?

Amat perlahan, kurang terancang dan banyak dipengaruhi oleh nilai sentimental peribadi pihak atasan.

Adakah seorang photographer itu perlu meletakkan dirinya dalam satu genre yang khusus dalam menghasilkan karyanya?

Pada pendapat saya, ia bergantung kepada mengapa pada awalnya kamera diangkat.  Saya lebih melihat seorang jurugambar sebagai seorang artis dan tukang cerita (storyteller).  Ada yang suka bercerita fiksyen, ada yang suka sejarah dan realiti serta ada juga yang suka berteka-teki.  Samada ia hadir melalui satu pengalaman hidup ataupun sesuatu yang dipelajari di sekolah, genre yang sesuai akan lahir di dalam hati dan melekat dengan sendirinya.  Walaupun saya akui kadangkala amat payah untuk mengimbangi antara minat dan kerja, lambat laun ia akan sebati.  Ada orang yang selesa berjaya sebagai ‘jack of all trade’ dan mendapat audience yang ramai dan ada juga yang lebih selesa dengan apa yang diminati sahaja.  Jadi bagi saya, perkara ini bergantung kepada ‘mengapa kamera diangkat’.

Seseorang pada hari ini terdedah kepada beratus malah beribu imej sepanjang hidupnya akibat kepesatan media social, berbanding dua dekad yang lalu. Pada pendapat anda adakah ini akan menyebabkan khalayak akan kurang menghargai seni fotografi?

Pada pandangan saya walaupun kemungkinan itu ada, ia tidaklah semudah yang disangka. Saya berpendapat bahawa seni dalam fotografi adalah ceritanya. Setiap gambar terikat pada sesuatu cerita, dan cerita akan sentiasa berubah-ubah. Mungkin komposisinya sama dan medianya juga sama, tapi ia masih satu cerita yang berbeza. Selagi kita rajin membawa cerita-cerita yang menarik dan berlainan, maka penonton akan sentiasa menanti sesuatu yang baru. Bagi peminat seni fotografi yang mengamalkan fotografi sebagai satu cabang seni dan bukan komersial semat-mata pula, mereka akan sentiasa berkembang dengan peredaran masa. Mereka tidak takut untuk mencuba dan mempamerkan teknik rakaman dan penyampaian yang baru.

Oleh itu pada pandangan saya, walaupun terdapat beribu-ribu gambar yang ditawarkan oleh media social setiap hari, tokoh-tokoh tempatan seperti Amri Ginang, Che Ahmad Azhar, Shamshahrin Shamsudin, Eric Peris, SC Sekhar, Jen Seow dan lain –lain oleh peminat seni fotografi tempatan dalam mencari sesuatu yang baru. Walaubagaimanpun bebanan ini tidak sepatutnya diletakkan pada bahu mereka sahaja. Semua orang samada amatur mahupun veteran perlu sentiasa berani mencuba dan tidak takut pada kritikan.

facebook: amran yahaya
instagram: @amranyahaya
website: www.amranyahaya.com