Tips Untuk Peniaga Mikro: Bisnes Anda Perlukan Sistem

Sudah beberapa ketika saya menunggu di hadapan gerai. Saya tahu peniaga tersebut nampak kelibat saya, tapi beliau memilih tidak mempedulikan. Akhirnya saya memanggil, “Bang…saya nak beli..”

“Kejap-kejap! Saya tengah sibuk ni!”

Ya seringkali kita hadapi situasi tersebut. Penjual seolah-olah tidak mahu menjual atau melayan pelanggan dek terlalu sibuk mempersiapkan barang jualan atau sedang menyiapkan pesanan yang sebelumnya. Untuk bisnes mikro, perkara ini sebenarnya adalah biasa. Peniaga mikro tidak mempunyai sumber untuk pekerja tambahan, jadi kebanyakan kerja dan penyediaan dibuat sendiri.

Timbul kasihan melihat keadaan ini tetapi masalah ini boleh diselesaikan – tanpa mengambil pekerja baharu.

Masalah ini sebenarnya adalah masalah pengurusan. Masa tidak digunakan dengan baik. Sistem operasi tidak wujud, maka keadaan menjadi kucar kacir. Tiada sempadan untuk mengelak beban berlebihan, dan ini mengundang kecelaruan. Senang cerita, meniaga main bantai sahaja.

Inisiatif berniaga itu terpuji, dan itu memang satu pekerjaan yang murni. Tetapi tanpa garisan dan sistem operasi yang baik, perniagaan seperti ini sedang mencuram, walaupun kelihatan seperti sedang membuat jualan.

Para peniaga mikro seharusnya cakna dan prihatin tentang keadaan ini. Penambahbaikan harus dilakukan dari masa ke semasa, dan perlu sentiasa belajar dari pengalaman harian. Perlu ada “post-mortem” setiap hari – bukan sahaja tentang nilai jualan harian, tetapi juga dari segi kelancaran operasi, kepuasan pelanggan dan kalau boleh, pemasaran.

Eh, rupanya memang banyak karenah bila berniaga ni! Tetapi itulah hikmahnya, apa yang kelihatan seperti penghalang selalunya adalah pemangkin yang terselindung.